Dua anggota tentera hilang di Pulau Perak

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata, identiti anggota yang hilang dikenal pasti sebagai Koperal David Edmund Rapi, 39, tahun berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau.

Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) dilaporkan hilang ketika melaksanakan tugas operasi di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lalu.

Harian Metro melaporkan, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata, identiti anggota yang hilang dikenal pasti sebagai Koperal David Edmund Rapi, 39, tahun berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau.

“Ketiadaan anggota dikesan pada lewat malam Jumaat lalu ketika ketua penempatan membuat pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.

“Usaha mencari dan mengesan dua anggota berkenaan dilaksanakan oleh anggota yang bertugas di pulau berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, TDM dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah mengatur gerak aset dan menjalankan pencarian pada Sabtu lalu.

“Kementerian Pertahanan mengesahkan insiden membabitkan kehilangan anggota empat RRD ketika sedang melaksanakan Op PEJARAK.

“Usaha pencarian kini sedang giat dijalankan bagi memastikan anggota berkenaan ditemui secepat mungkin,” katanya.

Pulau Perak terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.

Pulau yang mempunyai tebing curam yang berketinggian lebih 100 meter ini adalah daratan terhujung barat Semenanjung di perairan Selat Melaka.