Azmin semburit: Ahli PKR gesa tindakan ke atas Farhash

Bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K Gunasekaran yang membuat laporan itu berkata, tindakan perlu diambil ke atas Farhash sebagai pengajaran kepada akar umbi lain supaya menghormati kepemimpinan dan parti.

Sekumpulan anggota PKR meminta Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan disiplin ke atas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Mubarak.

Ini selepas mereka tidak berpuas hati dengan laungan ‘Azmin semburit’ yang dibuat sejurus selepas beliau dibebaskan daripada tahanan reman semalam. 

Malaysiakini melaporkan, bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K Gunasekaran yang membuat laporan itu berkata, tindakan perlu diambil ke atas Farhash sebagai pengajaran kepada akar umbi lain supaya menghormati kepemimpinan dan parti. 

“Jadi kita menyeru presiden biro politik, lembaga disiplin, ambil tindakan untuk menunjukan bahawa parti ini berdisiplin, ahli-ahli termasuk pimpinan yang dilantik oleh presiden juga harus berdisiplin menghormati bukan saja presiden kepada timbalan yang dipilih akar umbi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR.

Laporan itu diserahkan kepada Sekretariat Lembaga Disiplin PKR, Julailey Jemadi yang turun bertemu kira-kira sepuluh ahli PKR yang hadir bersama Gunasekaran.

Siasatan ambil masa 90 hari

Pada masa sama, Julailey turut memaklumkan kepada Gunasekaran bahawa siasatan dan tindakan boleh diambil dalam masa selewat-lewatnya 90 hari.

Semalam, Farhash yang dibebaskan daripada tahanan polis mengakhiri ucapan kepada sekumpulan penyokongnya dengan laungan “Azmin semburit”, selepas laungan “Reformasi” dan “Anwar for PM”.

Beliau ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bersama bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq.

Ketika berucap selepas pembebasannya kira-kira jam 3.50 petang itu, Farhash urut mempertikaikan kredibiliti Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kerana tidak mengambil tindakan terhadap Azmin sedangkan dia pula ditahan reman.

Haziq yang direman dua hari sebelum Farhash turut dibebaskan semalam.

Desak Farhash dipecat

Sementara itu, Naib Ketua Cabang Ampang, D Nallan, yang turut menemani Gunasekaran, mendesak agar Farhash dipecat kerana bukti yang terang menunjukkan pembantu Anwar itu melaungkan ungkapan berkenaan.

“[…] Media semua dah ada (rakaman). Pecat saja, tak payah tunggu.

“Kalau tak ada bukti, tak apalah. Siasatlah, nak 90 hari ke, 180 hari ke, setahun pun tak apa. Tapi bila dah timbalan presiden disebut macam tu, (sedangkan) beliau dah memimpin parti selama 20 tahun, tak sepatutnya ayat tu digunakan depan awam,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita tentang tindakan yang dirasakan paling wajar diambil lembaga disiplin terhadap Farhash.

Setakat ini, seramai 11 orang ditahan bagi membantu siasatan.

Bulan lalu, beberapa siri video seks diedarkan kepada ahli politik dan wartawan oleh individu tidak dikenali.

Selepas itu, Haziq mengakui beliau salah seorang daripada dua lelaki yang melakukan hubungan sejenis dalam video berkenaan.

Beliau mendakwa pasangannya adalah Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dan menyifatkan video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.