Pejabat AG putuskan sekiranya Azmin perlu ditahan

Hamid juga menegaskan siasatan sedang dijalankan mengikut undang-undang dan tidak ada sesiapa akan diberi layanan secara tidak adil.

Pejabat Peguam Negara akan memutuskan sekiranya Azmin Ali perlu ditahan selepas menerima kertas siasatan berhubung skandal video seks yang didakwa melibatkan menteri itu, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

“Perkara itu dikendalikan pasukan siasatan (polis). Biarkan mereka lakukan tugas mereka,”katanya dipetik oleh Star Online ketika menghadiri satu majlis di Melaka tengah hari ini.

Malaysiakini melaporkan, Hamid juga menegaskan siasatan sedang dijalankan mengikut undang-undang dan tidak ada sesiapa akan diberi layanan secara tidak adil.

Bagaimanapun, katanya oleh kerana isu berkenaan melibatkan perkara sensitif, pegawainya dikehendaki menjalankan siasatan menyeluruh.

Hamid juga mengulangi bahawa beliau tidak mahu diheret dalam kancah politik.

“Saya ingin menyatakan semula bahawa saya, sebagai IGP, tidak mahu terlibat dalam sebarang polemik politik, kecuali jika seseorang menuduh saya (tanpa asas),” katanya.

Hamid merujuk kepada Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, yang mendakwa beliau berbohong mengenai kesahihan video tersebut.

Lokman mendakwa video itu tulen dan salah seorang daripada mereka adalah Azmin. 

Hamid berkata laporan polis telah dibuat terhadap pemimpin Umno itu.

Minggu lalu, Hamid berkata ujian oleh Cybersecurity Malaysia mendapati video berkenaan adalah tulen namun proses pengecaman wajah gagal untuk mengaitkan individu dalam video berkenaan dengan Azmin Ali.

Bagaimanapun, Lokman mendakwa pakar Indonesia yang menggunakan kaedah Error Level Analysis (ELA) mengesahkan Azmin dan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai individu dalam video tersebut.

Haziq merupakan bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong yang mendakwa merupakan pasangan Azmin dalam video seks sejenis itu.

Semalam,  Farhash Wafa Salvador yang juga Setiausaha politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim mencabar Hamid untuk menahan Azmin sekiranya ketua polis negara itu masih memiliki kredibiliti.

Farhash dan Haziq merupakan antara beberapa individu yang ditahan berhubung penyebaran video terbabit.

Mereka dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Hamid juga mendakwa seorang pemimpin politik menjadi dalang di sebalik komplot untuk mencemarkan reputasi menteri berkenaan dan ratusan ribu ringgit dibelanjakan bagi menghasilkan video tersebut.