Umno wujud tabung dana biaya aktiviti parti, PRU15

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata tabung itu akan diuruskan sebuah badan profesional.

Buat julung kalinya, Umno akan mewujudkan tabung dana bagi menampung perbelanjaan parti termasuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Malaysiakini melaporkan, Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata tabung itu akan diuruskan sebuah badan profesional.

“Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) bincang lancar tabung dana Umno atau crowd funding bagi pembiayaan pengurusan aktiviti Umno dan dalam waktu terdekat supaya kelangsungan dapat dilaksanakan melalui tabung dana Umno.

“(Ini) Pertama kali crowd funding diumumkan. Kekangan terbesar pembiayaan aktiviti politik akibat daripada tindakan perundangan tak adil terhadap Umno.

“Dengan tuduhan-tuduhan di luar norma perundangan, kami rasakan tabung dana Umno harus dilancarkan bukan hanya ahli dan kepimpinan Umno dan ramai simpati dengan Umno,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat MT Umno sebentar tadi di PWTC, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk Umno, dipercayai bersangkutan penyelewengan dana 1MDB.

Pada 30 Jun lalu, Ahmad Zahid dilaporkan mengarahkan para peguam yang mewakili Umno untuk memfailkan rayuan kepada SPRM agar menyahbekukan sebahagian akaun parti itu.

Ia bagi membolehkan Umno menampung perbelanjaan seperti urusan pembayaran gaji staf, penyewaan bangunan dan kos urusan pentadbiran yang lain.