Banci Percubaan 2019 akan dilaksanakan bermula 24 Julai

Objektif pelaksanaan Banci Percubaan 2019 adalah untuk menguji pemahaman orang awam berkenaan struktur soal selidik dan mod pembancian yang dijalankan.

Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang akan melaksanakan Banci Percubaan 2019 bermula 24 Julai hingga 7 Ogos 2019 di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Zainol Jamil berkata, objektif pelaksanaan Banci Percubaan 2019 adalah untuk menguji pemahaman orang awam berkenaan struktur soal selidik dan mod pembancian yang dijalankan.

Selain itu katanya, ia merupakan persediaan jabatan untuk melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang keenam pada tahun 2020 nanti.

“Terdapat lebih 5,700 individu atau 1,430 isi rumah akan terlibat dalam menjayakan Banci Percubaan ini. Jabatan telah melalui proses modenisasi seiring perkembangan arus perdana berdasarkan mekanisme berikut; temuramah bersemuka dengan menggunakan borang soal selidik; temuramah bersemuka dengan menggunakan telefon pintar dan responden mengisi sendiri borang soal selidik atau temuramah melalui telefon; dan e-Census iaitu responden mengisi sendiri borang soal selidik secara dalam talian.

“Maklumat-maklumat yang dikumpul oleh pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) di mana maklumat yang diberikan adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang memohon kerjasama masyarakat untuk menjayakan pelaksanaan Banci Percubaan ini.

Maklumat lanjut mengenai Banci Percubaan 2019 boleh diperoleh dengan melayari portal Jabatan Perangkaan Malaysia di www.dosm.gov.my