Kanak-kanak 6 tahun maut jatuh melalui lubang jambatan

Mangsa dikenali sebagai Angelliena Juilan ditemui terapung di dalam sungai kira-kira 7 meter dari jambatan itu dengan beg masih pada tubuhnya.

Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh melalui lubang di sebuah jambatan gantung di Kampung Porotawoi di Tongod, Kinabatangan, semalam (23 Julai).

Penduduk kampung menemui mayatnya kira-kira 45 minit selepas kejadian itu, yang berlaku sekitar tengah hari.

Mangsa dikenali sebagai Angelliena Juilan ditemui terapung di dalam sungai kira-kira 7 meter dari jambatan itu dengan beg masih pada tubuhnya.

Bapanya, Juilan Razali, 31, berkata, dia sedang bekerja ketika isterinya memberitahu tentang kejadian itu.

Beliau berkata, rakan-rakan Angelliena melihatnya jatuh melalui lubang di jambatan itu.

“Apabila saya sampai di lokasi, anak kedua saya sudah tiada.

“Kami tidak menyalahkan sesiapa dan kami menerimanya (kematiannya) sebagai nasib,” katanya.

Beliau berkata Angelliena dan rakannya sering menyeberangi jambatan dalam perjalanan pulang selepas habis waktu prasekolah.

Ibu mangsa, Rosdianti Titi, 28, berkata, dia bergegas ke sungai setelah mengetahui kejadian itu.

“Apabila saya tiba, Angelliena sudah tidak bernyawa dan mereka meletakkannya di dalam bot.

“Tidak ada yang dapat kami lakukan walaupun kami menghantarnya ke klinik.

“Doktor mengesahkan dia sudah mati,” katanya.

Pasangan ini mempunyai dua anak lain berusia 9 tahun dan 8 bulan.