Tiga lelaki mengaku tidak bersalah rompak stesen minyak

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi 29 Jun lalu, dua perompak telah masuk ke dalam premis dan melarikan wang tunai sebanyak RM800 manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

Tiga lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan samun bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak Petronas di Pekan Awah, 29 Jun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Nazri Fadzil Rahman, 25, Muhammad Nur Iskhandar Amran, 24, dan Mohammad Mustafa Mat Nayan, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Azuar Che Yusof.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi 29 Jun lalu, dua perompak telah masuk ke dalam premis dan melarikan wang tunai sebanyak RM800 manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

Hasil siasatan polis mendapati pada waktu kejadian dua lelaki menaiki Myvi telah menuju masuk ke arah kaunter petronas.

Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup yang tular, salah seorang perompak mengeluarkan parang panjang dan mengacukannya ke arah pekerja yang menjaga kaunter manakala seorang lagi lelaki menyuruh mangsa membuka laci mesin wang dan mengambil wang di dalamnya sebelum kedua-keduanya melarikan diri.

Sebutan semula kes pada 22 Ogos depan.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan yang dibaca bersama seksyen 397 Kanun sama, iaitu rompakan bersenjatakan parang.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.