Muhammad Syafiq dilantik SU Akhbar KM Melaka

Muhammad Syafiq bersiap sedia untuk menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Adly.

Mantan Ketua Pemuda Amanah Melaka, Muhammad Syafiq Azmi dilantik sebagai Setiusaha Akhbar Ketua Menteri Melaka yang baru menggantikan Taufek Yahya.

Berita berkenaan dikongsi KM Melaka, Adly Zahari melalui akaun Facebooknya, semalam.

Muhammad Syafiq yang dihubungi Timur Daily mengakui terkejut dengan pelantikannya itu.

Beliau bagaimanapun bersiap sedia untuk menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Adly.

“Saya ada pengalaman berkerjasama dengan Ketua Menteri selama tiga tahun sebagai SU Politiknya sebelum PH menang pada PRU14.

“Jadi saya tiada masalah untuk kerjasama sekali lagi. Saya juga akan menjalankan amanah ini sebaiknya untuk menjayakan slogan Melaka Berwibawa: Pintar Hijau Bersih,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelantikannya itu membuktikan golongan muda tidak dipinggir di era pemerintahan PH.

“Pelantikan saya ini juga menggambarkan aspirasi dan peranan orang muda itu tidak terpinggir di era pemerintahan PH baik di peringkat nasional atau khususnya di Melaka,” katanya.

Muhammad Syafiq berasal dari Kuala Rompin, Pahang dan antara pimpinan muda awal yang melibatkan dengan Parti Amanah.

Beliau juga banyak menulis artikel dalam memberi pandangan atau kritikan dalam pelbagai isu.

Beberapa pandangannya pernah disiarkan di ruangan kolumnis portal Timur Daily.