Bauksit RM1.7 juta di curi

SEBUAH syarikat perlombongan kerugian lebih RM1.7 juta apabila kira-kira 15,000 tan bauksit di pusat penyimpanan yang terletak di Sungai Karang, dekat Kuantan, dicuri pada Isnin lalu.

Harian Metro melaporkan, Pengarah Urusan WM Mining Industries Sdn Bhd, Cheok Kia Yong mendakwa, kejadian itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang tinggal berhampiran pusat penyimpanan milik syarikatnya itu.

Dakwanya, kehilangan bahan mineral itu disedari pekerja syarikatnya selepas mendapati beberapa individu bersama tiga unit jengkaut dan lori berada di kawasan pusat penyimpanan itu, sejak Isnin lalu.

“Saya difahamkan mereka sudah melakukan aktiviti memindahkan bauksit selama tiga hari dan berjaya memindahkan 15,000 tan.

“Bauksit yang dicuri itu kemudiannya dipindahkan ke satu kawan yang terletak kira-kira dua kilometer daripada tempat penyimpanan syarikat saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cheok berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis pada 23 Julai lalu di Balai Polis Gebeng.

Beliau mendakwa, pihaknya mempunyai bukti berhubung aktiviti mencuri bauksit dan pihak yang terbabit.

“Kami mempunyai gambar yang menunjukkan aktiviti pemindahan bauksit dilakukan dengan menggunakan jengkaut.

“Justeru saya berharap supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera berhubung kejadian ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro