Bola Sepak ubah karakter Al-Sultan Abdullah

SEJAK kecil lagi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah aktif dalam sukan seperti hoki, bola sepak dan sepak raga jaring.

Menurut laporan Sinar Harian, Atas minat dan kebolehan yang ditunjukkan, Seri Paduka Baginda telah terpilih mewakili sekolah, daerah dan negeri dalam perlawanan bola sepak.

Ketika bergelar Tengku Mahkota Pahang, Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mei 2014. Sebagai peneraju persatuan sukan berprestij, Seri Paduka Baginda sering mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutama peminat dan penganalisis sukan tanah air.

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah tidak pernah marah atau berkecil hati malah menganggap ia sebagai satu kritikan membina demi masa depan bola sepak negara.

Dari sisi peribadi dan personaliti, Al-Sultan Abdullah merupakan seorang yang pendiam namun sukan telah menyebabkan karakter Seri Paduka Baginda berubah.

“Memang saya pendiam, tetapi apabila saya terlibat dengan bola saya jadi banyak bercakap pula dan bola sepak telah membina karakter saya.

“Saya juga berterima kasih kepada media yang banyak membina karakter saya dari muda sampai peringkat umur kini. Media banyak memberikan tekanan dan secara tidak langsung membina karakter saya, jadi terima kasih kepada media.

“Apa-apa kritikan baik atau buruk itu adalah proses, sebab itu daripada pendiam saya jadi banyak pula bercakap,” titah Seri Paduka Baginda dalam wawancara khas pada 10 Julai lalu sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ketika ditanya mengenai harapan terhadap masa depan bola sepak negara, Seri Paduka Baginda berharap agar suatu hari nanti Malaysia akan berjaya menjadi pasukan bola sepak yang paling handal di rantau Asean dan juga Asia.

“Tidak perlu pergi terlalu jauh hingga ke peringkat dunia, kalau boleh jadi gergasi Asean atau Asia itu pun sudah cukup. Ini satu impian yang saya harap menjadi satu kenyataan. Kalau kita dapat kekalkan di situ, orang akan menghormati pasukan kita dan saya percaya kita akan pergi jauh.

“Alhamdulillah, dalam sukan hoki pula saya nampak banyak perkembangan baik dan kerana prestasinya nampak meningkat daripada kedudukan ke-13 sekarang naik kepada kedudukan ke-12.

“Dari segi bola sepak di rantau Asean mungkin masih ada peluang untuk jadi tempat kedua terbaik tetapi di Asia nampak kurang sedikit. Kita perlu letak sasaran, di sinilah patut ada satu tanda aras kepada kekuatan pasukan bola sepak negara kita,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda turut ditanya tentang kelab bola sepak antarabangsa yang diminati dan Al-Sultan Abdullah mendedahkan dirinya merupakan peminat kelab Arsenal sejak kecil lagi, walaupun sahabat yang rapat mahu Yang di-Pertuan Agong beralih arah menyokong pasukan Manchester City.

Gimnasium

Buat masa ini Seri Paduka Baginda akui terpaksa melupakan seketika aktiviti sukan yang sering dilakukan pada masa lapang seperti bermain polo, bola sepak dan skuasy.

Kecederaan pada bahagian kaki yang dialami memaksa baginda memberikan tumpuan untuk meningkatkan kecergasan menerusi aktiviti senaman di gimnasium.

“Saya banyak bersenam di gimnasium. Saya berhenti bermain polo dan bola sepak, saya ada bermain skuasy seketika tetapi terpaksa tinggalkan juga kerana kecederaan kaki. Kalau saya cedera, saya tidak boleh ke majlis. Tak mungkin duduk di istana sahaja,” Seri Paduka Baginda berseloroh.

“Jadi sekarang saya kena cari sukan lain, mungkin memancing. Saya memang suka memancing dan pernah ke Rompin memancing ikan layaran,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Bercerita tentang kehidupan peribadi, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilihat sangat akrab dengan anak-anak. Seri Paduka Baginda dipanggil babah, sementara Tunku Azizah dipanggil mama.

Al-Sultan Abdullah sering meluangkan masa bersama anak-anak dan menjadikan waktu makan atau bersukan sebagai waktu terbaik untuk berinteraksi dengan anakandanya.

“Saya sibuk betul, tapi saya busy bukan busy body. Kadangkala anak saya juga sibuk bersekolah dan dia juga ada urusan sendiri.

“Apabila saya ada masa saya akan beritahu mereka, saya mahu jumpa waktu makan tengah hari atau kita jumpa waktu pergi gim atau bertemu pada waktu makan malam. Dari situ kita buat perancangan, itulah masa yang saya berikan untuk keluarga.

“Apabila di meja makan, saya ada undang-undang. Tidak boleh ada telefon dan saya rasa ini patut diamalkan setiap keluarga. Ambil telefon jika anak-anak masih berdegil. Biarlah bermasam-masam muka tetapi pada ketika itu sahaja.

“Kita mahu semua berinteraksi semasa makan bersama, jadi itulah antara yang saya lakukan. Dulu semasa boleh bersukan, saya main bola atau polo dengan anak-anak,” titah Seri Paduka Baginda.

– Sinar Harian