Malaysia akan musnah bot nelayan asing ceroboh perairan negara

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu akan dilaksanakan kementeriannya dalam masa terdekat.

Malaysia akan mengikut jejak langkah Indonesia untuk memusnahkan bot nelayan asing yang didapati menceroboh perairan negara.

Sinar Harian melaporkan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu akan dilaksanakan kementeriannya dalam masa terdekat.

“Insya ALLAH saya akan menjadi lebih tegas, kita tunggu mungkin minggu depan atau dua minggu lagi kita akan menyaksikan beberapa bot nelayan Vietnam akan ditenggelamkan akan dimusnahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ke-34/2019 di sini malam tadi.

Tambah Salahuddin, beliau pernah bertemu Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti baru-baru ini dan mengagumi ketegasan beliau dalam menangani isu pencerobohan kapal nelayan asing di Indonesia.

“Di Indonesia, tiada kapal nelayan asing, semua dihalau balik. Bot-bot besar diharamkan terus, tiada soft landing, tarik balik lesen. Yang boleh semua bot kecil.

“Bila bot asing masuk, mereka bakar atau bom. Beliau buat tiga tahun. Tahun pertama beliau dimaki, dihamun menteri tak guna, tak berhati perut dan zalim.

“Masuk tiga tahun, ikan tuna datang berenang di pantai sana. Bila kita tegas, hasil laut kita akan meningkat, ekosistem akan kembali pulih,” ujarnya.

Tegas Ahli Parlimen Kulai itu, beliau perlu mempunyai keberanian untuk melakukan tindakan sedemikian.

“Inilah cita-cita saya dan saya harap tiga tahun akan datang, nelayan akan dapat tingkatkan pendapatan mereka,” ujarnya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia sedang meneliti untuk mencontohi dasar kerajaan Indonesia dengan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara.

Beliau berkata, terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan, namun perlu mendapat nasihat daripada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Awal bulan ini, Salahuddin berkata, tindakan menenggelamkan bot nelayan asing yang mencerobohi perairan Malaysia bagaimanapun hanya akan dipertimbangkan jika langkah menangani isu berkenaan pada masa ini termasuk penubuhan pasukan petugas khas oleh Kabinet, tidak berkesan.