Tiada lesen niaga untuk warga asing di Selangor

Tindakan membatalkan permit akan diambil ke atas warga tempatan yang didapati memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing.

Kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan ketetapan bahawa tidak akan ada lesen perniagaan kecil dan sederhana kepada warga asing.

Sinar Harian melaporkan, Exco Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata tindakan membatalkan permit akan diambil ke atas warga tempatan yang didapati memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing.

“Ini selaras dengan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil 3 Tahun 2008, pengeluaran permit perniagaan kecil oleh PBT iaitu permit hendaklah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia sahaja dan pemilik permit hendaklah berada di tempat perniagaan sepanjang masa.

“Bagaimanapun PBT ada mengeluarkan lesen perniagaan warga asing yang telah mendaftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan perniagaan dengan melampirkan pasport yang sah dan mempunyai visa dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat di persidangan penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Katanya, PBT juga melakukan pemeriksaan secara berterusan untuk mengurangkan kelakuan sewaan lesen perniagaan atau tapak pasar malam kepada pihak ketiga.

“Sekiranya didapati lesen perniagaan atau tapak pasar malam melanggar syarat-syarat lesen termasuk perniagaan dikendalikan oleh pihak ketiga, PBT akan ambil tindakan sama ada kompaun atau pembatalan lesen dan rampasan lesen,” katanya.