Disamun ketika bayar tambang Grab

Dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Sepakat, Taman United di sini sekitar jam 8 malam itu, mangsa berusia 64 tahun mengalami kerugian RM2,000 apabila beg duitnya disamun.

Seorang lelaki warganegara United Kingdom yang memiliki taraf pemastautin tetap disamun lelaki bersenjatakan pisau ketika dia hendak membayar tambang perkhidmatan Grab yang digunakannya malam semalam.

Sinar Harian melaporkan, Dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Sepakat, Taman United di sini sekitar jam 8 malam itu, mangsa berusia 64 tahun mengalami kerugian RM2,000 apabila beg duitnya disamun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, suspek menghampiri mangsa sambil mengacukan pisau dan menarik dompetnya.

Menurutnya, suspek kemudian berlari ke arah motosikal Honda Wave yang diletakkan berhampiran sebelum mangsa bertindak menolak motosikal itu hingga jatuh.

“Suspek sempat melarikan diri selepas itu dan mangsa kerugian dianggarkan RM2,000. Mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Anggota ronda Balai Polis Petaling yang menerima maklumat kemudian ke lokasi kejadian dan merampas motosikal yang ditinggalkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, siasatan polos mendapati nombor pendaftaran motosikal itu palsu namun nombor asalnya sudah dikenal pasti.

“Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.