Tentera nyaris maut paragliding terhempas

Mangsa, Muhammad Jambi Ab Ghani, 38, yang juga seorang tentera patah kaki dalam insiden kira-kira jam 7 petang itu.

Seorang lelaki nyaris maut apabila paragliding dinaikinya terhempas ke atas batu benteng pemecah ombak dalam kejadian di Pantai Teluk Lipat di sini semalam.

Sinar Harian melaporkan, mangsa, Muhammad Jambi Ab Ghani, 38, yang juga seorang tentera patah kaki dalam insiden kira-kira jam 7 petang itu.

Sumber berkata, kejadian berlaku semasa mangsa sedang menguji paragliding di tepi pantai berkenaan bersama beberapa orang rakan.

Mangsa dipercayai gagal mengawal paragliding terbabit selepas dibadai angin kencang ketika penerbangan sebelum terjatuh ke atas benteng pemecah ombak di situ.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun, Kapten Ramlan Ros Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 petang.

“Tiga anggota APM bersama sebuah ambulans bergegas ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Hospital Dungun.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya.