Lapan anggota polis stabil selepas pantau tong kimia

Seramai lapan anggota polis disahkan mengalami simptom loya dan muntah selepas melakukan pemantauan di tapak lokasi penemuan 15 tong dram berisi bahan kimia di Ladang Felcra Sempa dekat Karak, Jumaat lalu.

Utusan Online melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mangsa yang mengalami simptom loya dan muntah dibawa menjalani rawatan segera ke klinik kesihatan dan Hospital Bentong.

“Ketika ini empat mangsa dirawat di wad biasa Hospital Bentong manakala empat lagi dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di hospital sama.

“Kesemua mangsa termasuk empat yang dipantau di Hospital Bentong berada dalam keadaan stabil,”katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Kampungku Sihat di Dewan Kampung Padang Lalang di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir.

Akhbar hari ini melaporkan kewujudan 15 tong dram dipercayai berisi bahan kimia pepejal di kawasan ladang kelapa sawit Felcra Sempa dekat Karak menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Difahamkan, beberapa individu yang membuat pemantauan dan berada di kawasan berkenaan mengalami simptom loya ringan.

Kewujudan tong dram seberat kira-kira 50 kilogram yang disusun rapi dan ditutup dipercayai berisi bahan kimia jenis Sodium 

Cyanide Solid digunakan dalam perlombongan emas itu menimbulkan pelbagai persoalan sama ada digunakan secara haram bagi melombong emas di kawasan berhampiran. – UTUSAN ONLINE