Pendapatan rendah punca kakitangan awam terima rasuah – Cuepacs

Pendapatan kakitangan awam yang rendah ketika ini menjadi punca berlakunya perbuatan rasuah dalam kalangan pekerja dalam sektor tersebut.

Sinar Harian melaporkan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Azih Muda berkata, inisiatif segera perlu dilaksanakan dengan meningkatkan kadar gaji dan upah kakitangan awam ke tahap yang lebih tinggi atau sesuai dengan kadar semasa.

“Kerajaan perlu melaksanakan kajian segera untuk menyemak kadar gaji dan upah ini sebelum terlambat dan aktiviti tidak menjadi serius.

“Kakitangan awam yang sanggup menerima rasuah ini adalah disebabkan pola pendapatan mereka rendah disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin tidak menentu.

“Sebagai contoh, mereka ini, ingin membeli rumah yang sesuai tetapi rumah sedemikian pula mahal. Jika ia dibeli, sudah pasti pendapatan tidak mencukupi dan akibatnya rasuah berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam, SPRM mendedahkan kegiatan rasuah dalam kalangan kakitangan awam di tahap membimbangkan apabila sejumlah 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah membabitkan golongan itu.

Berdasarkan angka tersebut, 53.4 peratus individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah.

Jumlah itu melibatkan tangkapan yang dibuat SPRM sejak 2014 hingga Jun tahun ini.

Selain itu, SPRM mendapati kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

Sementara itu, dalam satu kajian yang dibuat oleh suruhanjaya tersebut mendapati 22.1 peratus daripada responden penjawat awam mengatakan mereka sanggup terima rasuah sekiranya mereka ada kuasa.

Sumber: Sinar Harian