Tak boleh ‘halau’ Lynas, pelabur asing perhati

Lynas sudah melabur lebih RM1 bilion untuk operasinya di Malaysia, cuma proses pelombongan nadir bumi itu dikatakan mempunyai radioaktif pada sisanya.

FUKUOKA (Jepun): Malaysia tidak boleh ‘menghalau’ Lynas selepas menjemput syarikat perlombongan nadir bumi itu melabur di negara ini, hanya kerana terdapat pihak tidak mahu menerima kajian pakar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Lynas sudah melabur lebih RM1 bilion untuk operasinya di Malaysia, cuma proses pelombongan nadir bumi itu dikatakan mempunyai radioaktif pada sisanya.

BH Online yang memetik Bernama melaporkan, katanya, kajian pakar melaporkan sisa radioaktif ‘pada tahap sangat rendah’ dan tidak berbahaya kepada kesihatan dan beliau berpendapat terdapat juga cara untuk mengurangkan lagi ‘radioaktif yang sikit itu’.

“Kita yang panggil (datang melabur) lepas tu kita halau dia keluar. Orang lain kata negara buat janji, bila buat masalah dia halau pelabur… tak boleh macam tu,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Fukuoka hari ini.

Dr Mahathir berkata, pelabur asing langsung sedang memerhatikan tindakan kerajaan terhadap Lynas.

“Kalau kita halau pelabur asing Lynas ini, yang lain (pelabur asing) tak akan datang (Malaysia). Sebab ada yang kita tak suka…maka kita suruh dia (pelabur) keluar. Siapa (pelabur) nak datang, mereka perlukan kepastian,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jika sisa radioaktif itu berbahaya, pekerja di Lynas Malaysia yang terdiri daripada kira-kira 600 jurutera tempatan akan sakit.

“Pakar buat laporan itu tapi ada pihak tak terima keputusan ‘expert’ itu. Ini jadi masalah kalau kita suruh pakar buat kajian, tapi tolak. Apa guna suruh pakar buat kajian,” katanya.

Beliau berkata, selain kehilangan pelaburan, 600 pekerja tempatan juga akan hilang pekerjaan jika Lynas ditutup.

“Enam ratus pekerja di situ orang kita, mereka tak takut pun, mintak (operasi) diteruskan,” katanya. – BERNAMA