Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dibuka hari ini

Laluan berkenaan akan dibuka bermula jam 3 petang hari ini sehingga 10 pagi 15 Ogos ini.

Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai pakej 2A dari Kadok ke Ketereh akan dibuka sementara sempena perayaan Aidiladha selama seminggu bermula hari ini.

Pengurus Besar Kanan Pembinaan Unit Projek Khas ECER, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ir Adina Mamat berkata, laluan berkenaan akan dibuka bermula jam 3 petang hari ini sehingga 10 pagi 15 Ogos ini.

Sinar Harian melaporkan, menurutnya, pembukaan sementara laluan ini dibuat bagi memberi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan sempena musim perayaan.

Bagaimanapun katanya, ia akan ditutup semula pada hari Khamis depan bagi urusan selanjutnya.

“Ia akan membolehkan pembukaan secara kekal dapat dilakukan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Pihak kami berharap pengguna dapat mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.