Isu seni khat, jawi: KM Melaka saran selesai cara baik

Seni khat dan tulisan jawi yang telah dipraktikkan sekian lama rakyat Malaysia suatu ketika dahulu juga merupakan warisan kepada budaya negara ini dan ia wajar diselesaikan secara berdamai.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari lebih selesa jika isu membabitkan warisan khat dan jawi yang dibantah Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) diselesaikan secara baik menerusi rundingan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Portal MelakaKini melaporkan, beliau dalam masa sama berharap isu yang sedang hangat di media sosial ketika ini tidak juga dipolitikkan yang mungkin menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

Katanya, seni khat dan tulisan jawi yang telah dipraktikkan sekian lama rakyat Malaysia suatu ketika dahulu juga merupakan warisan kepada budaya negara ini dan ia wajar diselesaikan secara berdamai.

“KPM telah kemukakan pandangan dan harap ia tidak dipolitikkan.

“Bagi saya setiap bangsa ada budaya tersendiri dan melalui kaedah perundingan segala isu yang timbul boleh diselesaikan.

“Saya yakin dengan perundingan bersama badan bukan kerajaan (NGO) bersama KPM lebih baik dan ia amat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ramah Mesra bersama komuniti facebook, Geng Viral Melaka (GVM) di Restoran Zoo Melaka di sini sebentar tadi.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tempoh hari melabelkan Dong Zong sebagai rasis selepas persatuan itu mewujudkan petisyen membantah pembelajaran seni khat dan jawi yang didakwa sebagai medium penyebaran Islam.

“Dong Zong ini rasis, kita buat Sekolah Wawasan letak SK, SJKC dan SJKT dalam satu kampus mereka tak mahu, takut anak-anak dia konon bercampur dengan orang Melayu.

“Dia tak suka orang Melayu, semua dia bantah tak pernah bersetuju dengan apa-apa pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang Matsirat.

Sejak dua minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).