Bomba Pekan kerah anggota cari warga Singapura hilang

Operasi bermula dari 11 pagi tadi hingga 5.30 petang dan terpaksa dihentikan lebih awal kerana faktor ombak besar serta angin kencang.

Balai Bomba dan Penyelamat Pekan hari ini menggerakkan enam anggota termasuk seorang pegawai bagi mencari dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lalu.

Ketua Balai, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, kesemua mereka dengan kelengkapan dua bot bergerak menuju pesisir laut Tanjung Agas, Kuala Pahang dan Pekan untuk operasi pencarian di permukaan.

“Operasi bermula dari 11 pagi tadi hingga 5.30 petang dan terpaksa dihentikan lebih awal kerana faktor ombak besar serta angin kencang. Pencarian akan diteruskan esok,” katanya.

Bagaimanapun tengah hari tadi, dilaporkan mayat wanita dipercayai salah seorang daripada dua warga Singapura itu ditemukan di perairan Kemaman, Terengganu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) Zon Mersing, Haris Fadzilah Abdullah, mayat yang ditemui lengkap memakai jaket keselamatan itu ditemui terapung di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman pada 12.50 tengah hari.

Namun katanya, identiti mayat yang ditemui itu masih belum dikenal pasti sehingga pengecaman dilakukan oleh keluarga kedua-dua mangsa.

Menurutnya, jarak lokasi penemuan adalah sejauh 100 batu nautika dari lokasi terakhir dua rakyat Singapura yang dilaporkan hilang 8 Ogos lalu.

Mangsa, Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Eng Soon dilaporkan memakai jaket keselamatan biru merah, manakala Geok Tin memakai jaket keselamatan oren biru dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima hari ini menambah kekuatan anggota penyelamat kepada 122 orang berbanding 104 semalam.

Anggota bomba dengan kekuatan dua bot menuju pesisir laut Tanjung Agas, Kuala Pahang dan Pekan untuk operasi mencari warga Singapura hilang.