Bayi ini dilahirkan normal, tapi selepas 2 tahun…

KUANTAN – Sepasang suami isteri dari Tanjung Lumpur di sini reda dengan ketentuan ALLAH apabila dianugerahkan anak istimewa dalam kehidupan mereka.

Memetik laporan Sinar Harian, Wan Auni Fathiah Wan Azhar, 5, dilahirkan normal menyebabkan keluarganya tidak pernah menyangka anak bongsu daripada empat beradik itu mengalami masalah pendengaran sejak dia berusia 2 tahun.

Ibunya, Koperal Noryahna Mohd Nor, 33, berkata, Wan Auni hanya mampu menyebut perkataan ‘ibu’ dan ‘papa’ disebabkan masalah dihadapinya itu.

“Mula-mula saya tak tahu Wan Auni ada masalah sehinggalah selepas berusia 2 tahun, dia masih tak mampu bercakap.

“Saya bawa dia ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Indera Mahkota untuk berjumpa dengan pakar yang kemudian membuat ujian sebelum mengesahkan anak saya alami masalah saraf pendengaran dengan keadaan sederhana teruk.

“Ini menyebabkan anak tidak dapat mendengar seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui di Kompleks Polis Alor Akar hari ini.

Noryahna berkata, mereka sekeluarga ketika itu seakan tidak percaya memandangkan anaknya yang lain tidak mengalami apa-apa masalah.

Bagaimanapun katanya, hakikat itu perlu diterima dia dan suami, Koperal Wan Azhar Wan Sulaiman, 35.

“Saya hanya kasihankan dia, risaukan keadaannya untuk menghadapi masa depan. Namun lama kelamaan saya dapat terima keadaannya.

“Keluarga juga banyak beri nasihat dan sokongan supaya saya tabah menghadapi dugaan ini,” katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Noryahna berkata, anaknya mula mampu bercakap selepas bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kuantan di Indera Mahkota.

“Cikgu banyak membantu Wan Auni, selain memberi nasihat kepada dia dan suami mengenai cara untuk menjaga anak yang mempunyai masalah pendengaran.

“Anak saya sekarang sudah pakai alat bantuan pendengaran yang dibeli dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Alhamdulillah, PDRM banyak bantu kami sekeluarga dalam kebajikan anak saya,” katanya.

Menurutnya, Wan Auni tidak mempunyai masalah lain dan membesar sama seperti kanak-kanak seusia.

“Kalau dilihat daripada luaran, mesti ramai tidak sangka dia mengalami masalah pendengaran dan tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak seusia dengannya,” katanya.

Sumber : Sinar Harian