PM tolak spekulasi Tok Pa sertai kabinet

Dr Mahathir mengakui ada bercakap dengan jemaah menteri mengenai kemungkinan terdapat sedikit perubahaan dalam portfolio.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa tidak ada rombakan kabinet dalam masa terdekat ini seperti yang spekulasikan yang dibuat oleh beberapa pihak, khususnya, media tempatan.

Malaysiakini melaporkan, sebaliknya, kata beliau, perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.

“Mungkin ada tukar sikit portfolio. Tapi belum ada. Tapi tiada rombakan kabinet. Itupun saya belum lakukan,” katanya pada sidang medianya di Putrajaya selepas Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri, hari ini.

Perdana menteri turut menolak spekulasi bahawa bekas pemimpin kanan Umno Mustapa Mohamad yang kini menyertai Umno akan menganggotai kabinet.

“Tak ada. Tak ada rombakan (kabinet). Tak ada menteri baru,” katanya.

Ditanya wartawan bagaimana spekulasi mengenai rombakan kabinet boleh tersebar, Dr Mahathir mengakui ada bercakap dengan jemaah menteri mengenai kemungkinan terdapat sedikit perubahaan dalam portfolio.

Beliau kemudian diajukan soalan mengenai bila perubahaan kecil itu akan dilakukan

“Kalau nak buat, saya bagi tahu (nanti),” katanya sambil menambah dia akan hanya mendedahkan butiran itu pada masa yang lain.

Mahathir juga mengakui tidak ada permintaan berhubung perubahaan yang dicadangkan sama ada dari parti-parti komponen Pakatan Harapan tertentu mahupun daripada menteri-menteri tertentu.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi anggota kabinetnya, beliau berkata: “Saya rasa mereka mempunyai pengalaman lebih dari setahun dan mereka kini lebih berkeupayaan berbanding semasa mula dahulu.”