Melaka catat RM10 juta lebihan perolehan hasil

Melalui pelbagai langkah penjimatan yang dilaksanakan pada tahun lalu, jumlah defisit berjaya dikurangkan kepada RM26 juta pada tahun lalu.

JASIN, 10 Jun -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertanya khabar seorang penerima 'Rumah Peduli', Hanizah Mohammad,35, selepas merasmikan rumah tersebut di Lipat Kajang hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari (kanan). -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Prestasi kewangan Kerajaan Melaka terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam tempoh setahun lalu berbanding defisit yang dialami pada 2017.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, setakat Ogos lalu, kerajaan negeri berjaya mencatat lebihan perolehan hasil sebanyak RM10 juta susulan kejayaan mengurangkan defisit sebanyak RM53 juta pada tahun lalu.

Sebagai perbandingan, katanya, Melaka mencatatkan defisit berjumlah RM79 juta pada 2017.

“Melalui pelbagai langkah penjimatan yang dilaksanakan pada tahun lalu, jumlah defisit tersebut berjaya dikurangkan kepada RM26 juta pada tahun lalu.

“Penjimatan sebanyak RM8 juta setahun juga berjaya kita lakukan hanya melalui pengurangan dalam perbelanjaan pelbagai jamuan yang melibatkan program-program kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak di Hotel Tower Regency, Ipoh, kelmarin.

Turut hadir adalah Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga Naib Presiden Amanah.

Adly berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka juga meluluskan kertas cadangan untuk memperkenalkan inisiatif Rizab Negeri Melaka, dua minggu lalu.

Kerajaan negeri ujarnya, mensasarkan untuk memiliki rizab tunai sebanyak RM1 bilion dalam tempoh lima tahun melalui inisiatif berkenaan.

“Ini antara perkara yang sedang kita lakukan di Melaka ketika ini,” katanya.

Menurut Adly, kerajaan negeri juga memperkenalkan lima program perumahan rakyat iaitu Rumah Peduli, Rumah Berkat, Rumah Harapan, Rumah Belia dan Rumah Mampu Milik Melaka.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi penekanan kepada soal perumahan kerana pemilikan rumah merupakan masalah utama yang dihadapi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terutama di Melaka.

“Kerajaan membina Rumah Peduli berharga RM37,500 seunit untuk diberi secara percuma kepada rakyat miskin tegar yang memiliki tanah adalah model yang boleh diperkenalkan di mana-mana negeri,” tambahnya.