Jalil Rasheed bakal Presiden, CEO PNB baharu

Pelantikan Jalil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

Pakar pelaburan muda, Jalil Rasheed, 37, dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd yang baharu berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Beliau akan menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang kontraknya tamat pada 30 September ini dan akan dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd pada 31 Oktober ini.

BH Online melaporkan, pelantikan Jalil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

PNB dalam satu kenyataan hari ini, berkata pada masa ini, Jalil adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Menurutnya, sebelum ini, beliau berpangkalan di luar negara dan pelantikan baharu di PNB adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memanfaatkan bakat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ia juga seiring dengan inisiatif strategik PNB untuk mempelbagaikan aset di peringkat global.

“Jalil memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom.

“Beliau mula bekerja pada tahun 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Pelaburan dan seterusnya Ketua Ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Islamic Asset Management pada tahun 2010.

“Jalil kemudiannya meninggalkan Aberdeen untuk menerajui syarikat Invesco sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Selatan) pada tahun 2013, iaitu jawatan yang disandangnya sehingga kini,” katanya.

Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan kehadiran Jalil yang membawa bersama beliau pengalaman yang luas dalam menguruskan pelaburan global dan percaya beliau mampu untuk memimpin PNB ke arah menjadi institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia.

PNB turut mengumumkan yang Abdul Rahman setelah bersama PNB selama tiga tahun, bakal mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Sime Darby sebaik sahaja Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bersara pada 31 Oktober ini.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz merakamkan penghargaannya kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan itu dengan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Abdul Rahman atas segala sumbangan beliau kepada PNB dan syarikat-syarikat dalam kumpulan, sepanjang tempoh tiga tahunnya di sini.

“Kami berhasrat untuk terus bekerja bersama dengan beliau dalam peranan yang baharu di Sime Darby,” katanya.

SDB adalah salah satu syarikat strategik utama PNB di mana ia memiliki ekuiti sebanyak 52 peratus.

PNB mendukung standard tadbir urus korporat yang tertinggi di seluruh operasi termasuk pelantikan bagi jawatan-jawatan pimpinan penting.

“Pada petang ini, PNB telah menyempurnakan semua proses kelulusan bagi pelantikan yang diumumkan di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta Lembaga Pengarah PNB dan juga pihak badan kawal selia,” kata kenyataan itu.