Tiada kekosongan dalam kabinet untuk Anwar

Ini kerana tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar. - Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada jawatan kosong dalam Kabinet untuk diisi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

Sinar Harian melaporkan, beliau berkata, ini kerana tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar.

“Kerajaan tidak akan buat perubahan atau penambahan jumlah ahli Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan mempelawa Anwar untuk menyertai barisan Kabinet memandangkan gandingan mereka berdua dikatakan serasi dan baik untuk negara.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bersidang hari ini tidak membincangkan mengenai sebarang rombakan Kabinet dalam kerajaan.

“Kami (Bersatu) tidak bincang perkara ini dalam parti kami,” katanya.

Baru-baru ini timbul ura-ura kerajaan akan membuat rombakan Kabinet apabila Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri.

Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa tidak ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini seperti yang spekulasi yang dibuat oleh beberapa pihak, khususnya, media tempatan.