PM: Lepas saya letak jawatan, Anwar ganti

Dr Mahathir mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, iaitu Anwar.

Meskipun semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu tiada jawatan kosong di Kabinet untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim namun, hari ini beliau meredakan ketegangan dengan memberitahu akan mengotakan janjinya.

Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, iaitu Anwar.

“Saya buat janji, saya berpegang kepada janji saya. Apabila saya letak jawatan kelak, tentunya Anwar akan naik sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan al-Bukhary di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH memberitahu, banyak cakap-cakap belakang terutamanya daripada blok pembangkang bahawa beliau tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

“Pembangkang kata saya tidak mungkin akan letak jawatan. Jangan risau, saya akan letak jawatan dan serahkan kepada Anwar untuk menggantikannya,” katanya tanpa memberitahu tarikh sebenar.

Semalam, Dr Mahathir berkata, tiada jawatan kosong untuk Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam Kabinet memandangkan tidak ada menteri yang ingin mengosongkan kerusinya.

Spekulasi ini timbul kerana dikhabarkan akan berlaku pertukaran portfolio dalam kalangan menteri.