Pekan Sungai Lembing terbakar

Bomba giat melakukan pemeriksaan susulan di lokasi kejadian berikutan laporan dua mangsa dipercayai terperangkap.

Sebanyak 33 rumah kongsi setingkat, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan awam musnah dalam kebakaran di pekan Sungai Lembing, dekat sini, awal pagi tadi.

BH Online melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad, berkata kejadian dipercayai bermula kira-kira jam 1.30 pagi.

Katanya, bomba giat melakukan pemeriksaan susulan di lokasi kejadian berikutan laporan dua mangsa dipercayai terperangkap.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 1.52 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Kira-kira 19 deretan rumah kedai dua tingkat, 33 rumah kongsi dan sebuah Perpustakaan Awam Cina hangus dalam kejadian kebakaran di pekan Sungai Lembing, Pahang pagi ini. – Foto ihsan Bomba Pahang

“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Taman Tas, Indera Mahkota dan Gebeng terbabit dalam operasi mengawal dan memadamkan kebakaran.

“Seramai 54 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi, selain dibantu pasukan bomba sukarela dari pekan Sungai Lembing serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berserta orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 3.55 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat manakala Unit Forensik JBPM Pahang akan melakukan pemeriksaan di kawasan itu.