Pemuda Amanah Pahang komited membawa agenda rahmah

Jawatan ini bukanlah bermaksud mereka yang menang sahaja yang bekerja, dan jauh sekali bermaksud tamatnya kerja seseorang itu, tetapi ianya hanya salah satu proses yang menjadi juzuk dalam sistem kepartian kita.

Suatu ketika dahulu, ada seorang pemuda yang bekerja di kebun epal. Apabila ditanya oleh sang pembeli, epal dari pokok manakah yang paling sedap, beliau tidak mampu untuk menjawabnya.

Bukan kerana beliau malas bekerja tetapi kerana terlalu menitik beratkan AMANAH sehinggakan buah yang jatuh pun tidak dimakannya. Begitulah hebatnya disiplin dan komitmen pemuda tersebut seperti firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 26: bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah,”

Tempoh hari, telah berlangsungnya pemilihan Pemuda Amanah Peringkat Negeri Pahang, dimana kita dapat menyaksikan 17 AJK pimpinan baharu telah dilantik bagi sesi 2019-2022.

Tahniah dan takziah saya ucapkan kepada semua yang menang. Saya berharap kita semua dapat bekerjasama dengan baik ke arah tema konvensyen yang telah dipersetujui bersama Pemuda Peneraju Agenda Rahmah.

Bagi sahabat-sahabat saya dari pimpinan terdahulu, saya ucapkan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan. Kepada mereka yang tak terpilih pula, janganlah berkecil hati.

Jawatan ini bukanlah bermaksud mereka yang menang sahaja yang bekerja, dan jauh sekali bermaksud tamatnya kerja seseorang itu, tetapi ianya hanya salah satu proses yang menjadi juzuk dalam sistem kepartian kita.

Saya doakan selamat maju jaya kepada kalian semua. Insyaallah, kita masih boleh bekerjasama lagi dalam jemaah tercinta ini.

Sabda Nabi SAW :
“Hendaklah kamu berjemaah kerana sesungguhnya jemaah itu adalah rahmat dan perpecahan itu merupakan azab”

Perlu saya ingatkan, akan ada halangan dan dugaan yang bakal kita tempuhi bersama selepas ini dan kemungkinan akan ada jarum-jarum tajam yang cuba mencucuk kesepakatan kita ini.

Maka ketika itu ingatlah bahawa, kekuatan kita adalah kebersamaan. Saling mempercayai sesama sendiri, berdialog ketika meragui dan berbincang ketika timbul konflik atau syak wasangka hasil bisikan was-was syaitan.

Ketika itu juga, jangan turutkan perasaan marah dan teruskan bersama dengan semangat jitu.

Sabda Nabi SAW:
“Barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan dari kalangan kami.”

Pemuda akan sentiasa meraikan semua pihak dan komited dengan agenda pemuda rahmah. Kita juga mengangkat tema parti iaitu inklusif dan rahmatan lil alamin.

Akhir kalam, saya menyeru kepada semua agar kita bersama-sama dalam menyampaikan agenda islam kepada masyarakat, terutama setelah kita mempunyai akses kepada kerajaan.

Dan dalam proses itu, saya harap agar kita boleh bergerak dalam satu barisan yang kukuh dan tidak mampu diganggu gugat oleh gangguan-gangguan picisan mirip seperti firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berjihad dijalannya dalam barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh” (As Saff ayat 4)

Sekian.

MUHAMMAD IBROHIM MAZALAN
Ketua Pemuda Amanah Negeri Pahang