Syed Saddiq bantah tambah had umur persaraan

Perbandingan dengan negara maju tidak tepat. Kadar pengangguran belia Jepun hanya 3.4 peratus, Singapura 5.9 peratus dan Jerman 6.2 peratus. - Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya meningkatkan had umur persaraan dari 60 ke 65 tahun.

Malaysiakini melaporkan, beliau berkata kerajaan sewajarnya memberi fokus kepada masalah pengangguran di kalangan belia.

“Saya membantah cadangan MTUC untuk menaikkan umur persaraan dari 60 tahun ke 65 tahun.

“Perbandingan dengan negara maju tidak tepat. Kadar pengangguran belia Jepun hanya 3.4 peratus, Singapura 5.9 peratus dan Jerman 6.2 peratus.

“Di Malaysia ada 500,000 anak muda yang menganggur (10.7 peratus),” katanya pada hantaran video di Instagram.

Semalam, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (Cola) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran hari ini dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti cadangan MTUC untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini seperti yang dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Menteri itu turut berkata, golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan dicadangkan menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan sekaligus memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan.