Tetap adakan upacara pengebumian ibu bapa

Upacara pengebumian akan dilakukan dalam masa terdekat kerana kejadian sudah berlaku dua minggu. Kami mahu melakukan upacara ini dengan baik dan sempurna untuk kedua orang tua kami," katanya hari ini.

Walaupun hanya mayat mendiang emaknya ditemukan, anak kepada pasangan warga emas yang dipercayai maut dalam kebakaran besar di Sungai Lembing di sini pada 31 Ogos lalu akan tetap mengadakan upacara pengebumian buat kedua ibu bapanya.

Sinar Harian melaporkan, Ho Poh Ling, 40, anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70, berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara kerana mereka telah menerima ketentuan takdir.

“Kami tahu ibu bapa kami tidak berjaya diselamatkan kerana kebakaran yang berlaku amat besar. Tambahan pula sehingga kini ayah masih belum ditemui jika benar beliau selamat.

“Upacara pengebumian akan dilakukan dalam masa terdekat kerana kejadian sudah berlaku dua minggu. Kami mahu melakukan upacara ini dengan baik dan sempurna untuk kedua orang tua kami,” katanya hari ini.

Poh Ling ditemui di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini, antara mangsa yang menerima ziarah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah juga dilihat tidak dapat menahan air mata semasa memeluk Poh Ling ketika menzahirkan ucapan simpati kepadanya, menyebabkan wanita itu yang tenang pada awalnya juga menangis teresak-esak.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan hari ini mengesahkan ujian DNA yang dijalankan Jabatan Kimia Petaling Jaya terhadap spesimen tulang yang ditemukan pada kebakaran besar Sungai Lembing, 31 Ogos lalu sebagai mayat Kim Mui.

Pada kejadian 1.30 pagi 31 Ogos, Yuk Fun dan Kim Mui dipercayai maut dalam kebakaran yang melibatkan 32 bangunan meliputi 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan yang dipercayai berpunca dari rumah pasangan itu. – Bernama