UKOMP bantu perkasa kerajaan Pahang

Pejabat UKOMP bakal beroperasi di tingkat 17, Kompleks Teruntum setelah siap proses renovasi.

KUANTAN – Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) yang ditubuhkan bakal membantu memperkasa kerajaan negeri.

Memetik hantaran di Facebook Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, kira-kira 25 kakitangan bakal menggalas tanggungjawab menggerakkan unit berkenaan.

Mohammad Fakhruddin (lima,kiri) ketika melawat pejabat UKOMP di Kompleks Teruntum yang bakal beroperasi setelah siap proses renovasi.

Menurutnya, ia melibatkan jawatan wartawan, jurufoto, juru audio visual, pelukis grafik, kakitangan teknologi maklumat, bahagian penerbitan dan 5 orang pegawai.

Katanya, pejabat UKOMP bakal beroperasi di tingkat 17, Kompleks Teruntum setelah siap proses renovasi.

“Namun kesemua ini sedang dalam proses untuk disiapkan. Saya juga rasa bersyukur semuanya telah berjalan lancar dan saya berdoa ke hadrat Allah agar unit ini berjaya mencapai matlamat manakala pekerjanya akan bekerja dengan lebih dedikasi, inovatif dan kreatif bagi membantu Kerajaan Negeri Pahang terutamanya dalam bidang media dan komunikasi.

“Di pejabat ini juga bakal diwujudkan sebuah studio untuk rakaman berita Tv Online, temubual esklusif dan sebagainya,” katanya.