Sangka anak buaya, rupanya tapah 45 kilogram

Wong yang bersama rakannya dari Kuala Lumpur berkunjung ke situ selama tiga hari untuk memancing tidak menyangka memperoleh ikan tapah buat kali pertama seumur hidupnya.

Ikan tapah seberat 45 kilogram ditangkap menggunakan joran oleh seorang pemancing yang berkunjung ke Kampung Pagi di Hulu Tembeling dekat sini kelmarin.

Pemancing dikenali sebagai Wong itu berkata, dia bersama pemilik Chalet Terapung, Adenan Nipah dan tiga rakannya menaiki bot penambang pada pukul 5.30 petang untuk memancing di Lubuk Palembang, Sungai Tembeling berdekatan kampung berkenaan.

“Lebih kurang 20 minit memancing menggunakan umpan ikan keli, tiba-tiba tali joran saya direntap. Sangkaan saya umpan disambar anak buaya tetapi seekor ikan tapah yang dinaikkan. Setelah ditimbang, beratnya hampir 45 kilogram,” katanya.

Wong yang bersama rakannya dari Kuala Lumpur berkunjung ke situ selama tiga hari untuk memancing tidak menyangka memperoleh ikan tapah buat kali pertama seumur hidupnya.

Sementara itu, Adenan berkata, ikan tapah laris di pasaran dengan mencecah harga RM80 sekilogram tetapi nilai spesies air tawar itu lazimnya dijual RM50 sekilogram di chalet Taman Negara Kuala Tahan dan sekitar Hulu Tembeling.

Katanya, selain ikan tapah, pemancing yang menginap di chaletnya pernah menangkap ikan patin dan ikan temoleh yang beratnya melebih 50 kilogram. – UTUSAN ONLINE