Peniaga kek ditemui meninggal dunia dalam kereta

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mimi Sunarty Ederis, 42, berehat di dalam kereta Proton Persona ketika mengambil anaknya, Syakir Anuar Jasli, 10, di sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Seorang peniaga ditemui meninggal dunia di dalam kereta di Sekolah Kebangsaan Temin, Jerantut, hari ini.

Kosmo Online melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mimi Sunarty Ederis, 42, berehat di dalam kereta Proton Persona ketika mengambil anaknya, Syakir Anuar Jasli, 10, di sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Rakan karib mangsa, Norshidah Taib, 45, berkata, dia terkejut apabila mendapat berita kematian mangsa kerana mereka sempat beramah-mesra ketika menghadiri mesyuarat Amanah Ikhtiar Cawangan Jerantut di sini hari ini.

“Saya bersamanya pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari namun tiada sebarang petanda dia akan tinggalkan kami selama-lamanya.

“Saya agak terkilan kerana tidak dapat bergambar kenangan dengan Mimi selepas mesyuarat tadi kerana arwah ingin mengambil anaknya di sekolah,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini. 

Menurutnya, anak arwah memberitahu, dia ingin berehat sekejap dalam kereta dan tertidur namun tidak terjaga serta disahkan meninggal dunia.

“Arwah merupakan seorang peniaga kek dan roti malah dia baharu membuat pinjaman RM10,000 melalui Amanah Ikhtiar untuk mengembangkan perniagaan,” ujarnya.

Norshidah memberitahu, mayatnya dibawa ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

“Arwah meninggalkan dua orang anak dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tebing Tinggi sebaik selepas urusan bedah siasat,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan mengsahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.