PTPTN sasar kutipan balik pinjaman RM2 bilion

Wan Saiful berkata secara keseluruhan sasaran yang ditetapkan pihaknya berjumlah RM3 bilion dengan RM1 bilion daripadanya hasil kutipan penabungan.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan kutipan balik pinjaman sebanyak RM2 bilion tahun ini.

BH Online melaporkan, pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata ketika ini pihaknya berada di landasan sepatutnya dan hampir mencapai sasaran itu apabila berjaya mengutip RM1.3 bilion.

“Saya amat yakin, jika kita positif, kita mampu mencapai sasaran itu dalam tempoh yang ditetapkan hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat negeri Sarawak di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Jaya.

Pada majlis itu, PTPTN menyerahkan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 1,240 anak-anak asnaf membabitkan 31 kawasan Parlimen di Sarawak.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata secara keseluruhan sasaran yang ditetapkan pihaknya berjumlah RM3 bilion dengan RM1 bilion daripadanya hasil kutipan penabungan.

Mengenai mekanisme baharu untuk memastikan kutipan balik pinjaman yang lebih teratur lagi berkesan, beliau berkata beberapa cadangan akhir sudah diputuskan oleh Lembaga Pengarah PTPTN pada mesyuarat yang diadakan semalam.

“Beberapa cadangan akhir penambahbaikan kutipan bayaran balik sudah kita capai dan ia akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk diperhalusi seterusnya diputuskan untuk pelaksanaan,” katanya.

Selain itu, katanya, sejak pelancaran SSPN pada 2004 sehingga 31 Julai tahun ini, 4.2 juta akaun SSPN dibuka dengan jumlah keseluruhan deposit RM5 bilion.

“Daripada jumlah itu, 219,028 akaun SSPN dibuka dengan deposit RM273,25 juta di Sarawak,” katanya.