Berita wanita saman penghantar kondom tidak benar

China Press melaporkan, selepas menyemak dengan beberapa agensi berkaitan, mereka mendapati maklumat itu adalah palsu.

Berita seorang wanita mengandung dari China yang kononnya menyaman seorang penghantar kondom kerana lambat sebenarnya tidak benar.

China Press melaporkan, selepas menyemak dengan beberapa agensi berkaitan, mereka mendapati maklumat itu adalah palsu.

Malaysiakini melaporkan, ia sebenarnya, lapor akhbar Cina itu, dipetik daripada maklumat tidak disahkan dari media sosial China Baidu pada 19 September.

“Gambar lelaki penghantar barang dan wanita itu sebenarnya diambil daripada Internet,” menurut laporan itu.

Dalam laporan palsu itu, yang dipetik pelbagai media semalam, seorang wanita dari Suzhou, China menyaman seorang pengantar barang kerana lambat lapan minit menghantar kondom dipesannya.

Akibat kelewatan itu, menurut laporan itu, wanita dikenali sebagai Su itu telah mengadakan hubungan seks terlebih dahulu dengan kekasihnya dan akhirnya mengandung.

Sementara itu, China Press juga memetik peringatan daripada Pejabat Internet Negara China pada Julai 2016 yang meminta semua portal tidak menyiarkan laporan yang tidak disahkan terlebih dahulu.

“Diharapkan semua media dan personaliti media sosial menyemak kandungan terlebih dahulu dan tidak menyebarkan khabar angin dan fakta yang diputar belit.

“Warga maya juga diminta mempertingkat keupayaan menilai fakta dibentangkan,” menurut laporan itu.