Yazit Search meninggal dunia

Perkara itu disahkan kawan rapatnya, Ashaari Mohd Nasir melalui hantaran di Facebook sebentar tadi.

Pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad menghembuskan nafas terakhir jam 11.53 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Malaysiakini melaporkan, perkara itu disahkan kawan rapatnya, Ashaari Mohd Nasir melalui hantaran di Facebook sebentar tadi.

“Innalillahwainnahirajiun.

“Abang Yazit Search Sang Gendang telah menghembus nafas terakhirnya. Dia meninggal dunia jam 11.53 pagi sebentar tadi (26 September 2019) disisi keluarga dan sahabat andainya,” katanya.

Difahamkan, arwah pergi selepas bertarung nyawa akibat kecederaan otak berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan.

Menurut adik Yazit, Zahid Ahmad, abangnya akan disembahyangkan di Masjid Salehuddin Al Ayubi Taman Melati manakala uusan pengebumian dijalankan selepas Zohor.

“Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan di Raudhatul Sakinah,Taman Selasih, Selangor,” katanya di media sosial.

Mesin bantuan pernafasan ditanggalkan kira-kira jam 11.46 pagi tadi.

Yazit, 57, dimasukkan ke HKL kira-kira jam 3 pagi semalam oleh anaknya.

Pada 3 September lalu dia pernah dimasukkan ke hospital sama akibat masalah pernafasan tetapi dibenarkan keluar dua hari kemudian.

Arwah mengadu sesak nafas kepada isterinya, Ramlah Mat pagi kelmarin.

Yazit dibawa ke unit kecemasan HKL dan setibanya di sana jantungnya tiba-tiba terhenti.

Bantuan pernafasan (CPR) dilakukan sebelum Yazit dimasukkan ke Zon Merah untuk diberi rawatan rapi.

Media melaporkan, malam tadi arwah mengalami kesan akibat rawatan CPR yang dilakukan.

Arwah meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.