200 penduduk Chenor daki Bukit Kertau

Istimewanya destinasi tersebut ia merupakan titik pemetaan asal Semenanjung di mana titik kosongnya diukur bermula dari sini.

Seramai 200 penduduk Chenor menyertai program Mendaki Bersama YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak di Bukit Kertau di sini, baru-baru ini.

Mujibur Rahman berkata, selain bertujuan mempromosikan Bukit Kertau sebagai lokasi riadah di Pahang, program itu juga mendekatkan beliau dengan masyarakat setempat khususnya anak muda selain menyeru ke arah penjagaan kesihatan menerusi aktiviti mendaki.

Para peserta yang dilepaskan bermula jam 10 pagi mengambil masa hampir satu jam untuk menghabiskan pendakian dan tiba di puncak setinggi setinggi 853 kaki atau 266 meter itu.

Bukit Kertau terletak di seberang Sungai Pahang dari Chenor. Istimewanya destinasi tersebut ia merupakan titik pemetaan asal Semenanjung di mana titik kosongnya diukur bermula dari sini.

“Alhamdullilah program anjuran Pusat Khidmat ADUN Chenor ini berjaya menarik minat seramai 200 peserta, membuktikan orang Chenor sokong riadah sihat seperti ini.

“Ini adalah kali kedua ‘Program Mendaki  Bersama YB’ dianjurkan. Menariknya kali ini apabila Pusat Khidmat ADUN Chenor juga menyediakan hidangan masakan patin dan cabutan bertuah untuk peserta,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, wakil rakyat PAS itu turut menyantuni masyarakat Chenor di Kampung Bukit Cempedak dengan menyertai Program Mengacau Asyura untuk merapatkan ukhuwah dan persaudaraan dalam komuniti.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengerusi MPKK Kampung Bukit Cempedak Abd Wahab Salim .