Air percuma Selangor hanya untuk pendapatan RM4000 ke bawah

Program pemberian air percuma sebanyak 20-meter padu pertama bersamaan RM11.40 setiap bulan kepada semua pengguna domestik bermeter individu di Selangor diperkenalkan sejak 1 Jun 2008.

Kerajaan negeri Selangor akan menjenamakan semula program pemberian air percuma sebagai subsidi bersasaran mulai Mac tahun depan dengan memperkenalkan kriteria pendapatan untuk kelayakannya.

Malaysiakini melaporkan, berkuatkuasa pada 1 Mac, 2020, hanya pendapatan isi rumah berdaftar sebanyak RM4,000 dan ke bawah layak menerimanya, berbanding subsidi menyeluruh yang diberikan kepada semua rumah di Selangor.

Program pemberian air percuma sebanyak 20-meter padu pertama bersamaan RM11.40 setiap bulan kepada semua pengguna domestik bermeter individu di Selangor diperkenalkan sejak 1 Jun 2008.

Prgram itu kemudiannya diperluas kepada pengguna meter pukal yang tinggal di flat pada bulan Jun 2010.

“Program pemberian air percuma ini telah dapat dinikmati oleh semua peringkat pendapatan walaupun tujuan asalnya adalah untukmengurangkan beban kos sara hidup rakyat negeri Selangor, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

“Bagi memastikan program ini menepati objektif perlaksanaannya dan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri ke arah perbelanjaan yang berkualiti penjajaran semula program pemberian air percuma akan dikuatkuasakan bermula pada 1 Mac 2020 dan dijenamakan sebagai Skim Air Darulehsan,” kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan supaya penjajaran semula itu dilaksanakan pada 23 November tahun lalu bagi mencapai matlamat sebenar lnisiatif Peduli Rakyat Kerajaan Negeri iaitu untuk meringankan beban kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan dan layak.

Katanya, sehingga 31 Dis, 2018, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk menyediakan air percuma, dan bagi tahun ini, jumlah peruntukan itu dijangka melebihi RM220 juta.

“Keputusan menjajarkan semula skim air percuma ini diambil oleh kerajaan negeri atas faktor peningkatan jumlah penduduk saban tahun yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan yang dibelanjakan bagi menampung perbelanjaan skim air percuma ini.

“Selain itu, Skim Air Darul Ehsan ini juga akan dapat menyasarkan golongan yang amat memerlukan di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

“Penjajaran ini adalah perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan,” katanya.

Amirudin berkata penduduk yang layak boleh mendaftar untuk program berkenaan bermula dari 30 September hingga akhir tahun ini. Permohonan akan disemak semula dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri selepas tarikh tutup, dan pemohon akan dimaklumkan tentang keputusan mereka pada akhir Februari 2020.