Buat duit dengan aplikasi

"Justeru anak muda, para pelajar, cuba fikir dan cipta apa apa aplikasi yang menarik yang membuatkan ramai orang nak muat turun.

KUANTAN – Generasi muda masa kini diseru memanfaatkan aplikasi robotik dan internet sejak dari awal sebagai langkah membangun bersama industri 4.0 (IR 4.0).

Penasihat Malaysia Automotive Robotic IoT Institute (MARii), Profesor Dr Iskandar Bahrin berkata, pada era masa kini aplikasi robot dan IoT (Internet of Things) amat penting dalam industri 4.0 baik dari segi pendidikan mahupun perniagaan.

Menerusi pengalamannya, Dr Iskandar turut berkongsi bahawa penciptaan aplikasi yang berjaya menarik perhatian umum untuk memuat turun, mampu menjana pendapatan ratusan ribu ringgit.

“Justeru anak muda, para pelajar, cuba fikir dan cipta apa apa aplikasi yang menarik yang membuatkan ramai orang nak muat turun.

Buat satu projek, fikir bersama rakan rakan masa tengah belajar ni. Nanti lepas habis belajar, dah jana income menerusi aplikasi. Fokus itu saja.

“Akan datang bukan sahaja smartphone digelar sebagai robot, malah kerusi atau apa sahaja mungkin sudah robot. Hanya perlu tambah sensor semua benda boleh jadi robot,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 200 pelajar University College Yayasan Pahang (UCYP) Taman Gelora di sini, hari ini.

Dr Iskandar meruoakan Profesor Adjunct bagi Sekolah Kejuruteraan Fakulti Saibs dan Teknologi universiti tersebut dan dijemput sebagai penceramah Talk And Sharing Session; Industrial Resolution 4.0.

Beliau yang juga Presiden dan Pengasas Malaysia Robotics & Automation Society (MyRAS) berkata, persediaan dan percubaan generasi muda di peringkat awal dalam mendepani IR 4.0 dapat mematangkan fikiran serta membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

Menurutnya, IR 4.0 tidak semata mata melibatkan kejuruteraan sebaliknya lebih daripada itu termasuk bidang pertanian, keusahawanan dan lain-lain.

“Sebagai contoh, tak lama lagi banyak data akan dipamerkan dalam telefon bimbit dan monitor menerusi dashboard. Untuk pertanian ia dinamakan Smart Farming. Inilah yang saya maksudkan IR 4.0 sebahagian daripada pertanian.

“Cipta aplikasi atau dashboard mulai sekarang supaya anda lebih matang menempuh era IR 4.0,” katanya.