‘Ayuh tumbangkan Vietnam’

"Jika kita mahu pulang dengan kemenangan, para pemain perlu tampil dengan persembahan terbaik mereka pada malam esok.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu para pemain Harimau Malaya tidak takut berdepan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G bagi saingan Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi malam esok.

Sinar Harian melaporkan, Menurutnya, beliau optimis dengan kemampuan pemain negara selain yakin Harimau Malaya mampu mencipta kejutan menumbangkan pasukan tuan rumah itu.

“Jika kita mahu pulang dengan kemenangan, para pemain perlu tampil dengan persembahan terbaik mereka pada malam esok.

“Justeru, saya mengingatkan kepada para pemain supaya mereka tidak gentar untuk berdepan Vietnam kali ini biarpun dua kali kita tewas di Hanoi pada 2018 kerana kita juga mempunyai sejarah berjaya menewaskan Vietnam 4-2 di Stadium My Dinh ini pada Separuh Akhir Kedua Piala Suzuki AFF 2014.

“Untuk itu, saya harap mereka akan tampil lebih yakin kali ini dengan skuad yang lebih kuat supaya kita akan kembali melakar sejarah dapat menewaskan Vietnam di gelanggang mereka selepas lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi FAM, sebentar tadi.

Sebagai rekod, ketika saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu, Malaysia gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga pertemuan menentang Vietnam yang melibatkan saingan peringkat kumpulan dan dua aksi timbal balik pada perlawanan akhir.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia tewas 0-2 di Stadium My Dinh dan terikat 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil ketika aksi final pertama sebelum tewas tipis 0-1 pada perlawanan timbal balik kedua di Hanoi.

Justeru, beliau berkata, pemain Harimau Malaya juga perlu turun dengan misi untuk membalas dendam ke atas Vietnam yang telah menewaskan skuad negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki itu.

“Saya telah menemui para pemain dan menyatakan kepada mereka bahawa kita perlu menang perlawanan menentang Vietnam bagi memastikan misi untuk kita layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus pada landasan yang betul.

“Selain itu, kita juga datang ke Hanoi kali ini dengan misi untuk membalas dendam kekalahan kita kepada Vietnam pada Final Piala Suzuki AFF 2018 di stadium yang sama, kira-kira 10 bulan yang lalu.

“Dengan skuad terbaik yang kita ada ini, saya berkeyakinan tinggi untuk skuad Harimau Malaya membawa pulang tiga mata penuh kali ini dan sudah tentu ia akan dapat juga memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” katanya.