Tujuh beradik yatim piatu dapat perhatian

Idris merupakan datuk kepada tujuh beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Norhapisah Idris, 34, dan Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pada 11.15 pagi 4 Oktober lalu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM8,000 bagi membina sebuah bilik tidur tambahan di rumah Idris Abdullah, 74, di Kampung Pasir Raja, Dungun.

Idris merupakan datuk kepada tujuh beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Norhapisah Idris, 34, dan Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pada 11.15 pagi 4 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan bersetuju membina bilik baharu sebagai tambahan daripada tiga bilik sedia ada bagi keselesaan kepada Muhammad Danial, 12, Muhammad Danish Irfan, 11, Muhammad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin, 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5, dan Dayyinah Athirah, 3.

“Anak arwah ada yang sudah besar, jadi mereka perlukan bilik sendiri. Pembinaan mungkin mula minggu depan dan kita harap pertengahan bulan depan, bilik ini sudah boleh digunakan,” katanya ketika mengunjungi keluarga itu semalam.

Hanafiah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Idris yang kini menggalas tanggungjawab menjaga tujuh cucunya.
Menurut Hanafiah, JKM turut meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM900 iaitu peruntukan daripada Pusat dan negeri yang akan dimasukkan ke akaun Idris dan bapa saudara tujuh beradik bagi menampung perbelanjaan anak yatim berkenaan.

Beliau berkata, sebuah kerusi roda dan katil hospital turut disumbangkan oleh JKM dan Pas Dewan Undangan Negeri Bukit Besi sebagai kemudahan Muhammad Darwish Iqbal bergerak di rumah selepas cedera kerana terbabit dalam kemalangan itu.

Selain itu katanya, Tabung Darul Iman (TDI) juga telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM3,500 untuk membiayai kos perubatan hospital seorang lagi anak mangsa yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya akan memastikan agensi kerajaan seperti JKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta agensi-agensi yang berkaitan supaya terus memantau perkembangan keluarga ini dari semasa ke semasa.

“Kami bagi pihak kerajaan negeri amat berdukacita di atas kejadian yang berlaku ini. Kami mengharapkan datuk serta ahli keluarganya yang lain dapat menjaga dan membesarkan tujuh beradik ini dengan baik,” katanya.