Pukul isteri sebab tak bagi RM300

Akibat tindakan itu mangsa berusia 43 tahun luka di bahagian pipi kanan selain sakit di anggota badan.

Seorang lelaki tergamak memukul isteri sehingga cedera hanya kerana wanita itu tidak mahu menyerahkan wang RM300 dalam kejadian di sebuah rumah di Batu Rakit di sini kelmarin.

Menurut laporan Sinar Harian, Akibat tindakan itu mangsa berusia 43 tahun luka di bahagian pipi kanan selain sakit di anggota badan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang ketika mangsa yang merupakan seorang guru sedang berehat di rumah sebelum dikejutkan dengan kepulangan suspek, 41.

Menurut sumber, sejurus masuk ke dalam rumah, suspek terus mengamuk dengan membaling bantal ke arah televisyen sebelum berlaku pergelutan di antara pasangan suami isteri tersebut.

“Mangsa yakin suspek bertindak sedemikian kerana melepaskan amarah dan rasa tidak puas hati terhadapnya kerana tidak menunaikan permintaan lelaki itu agar menyerahkan wang RM300 sebelum ini.

“Keengganan mangsa itu menyebabkan suspek yang tidak bekerja itu masih tidak berpuas hati sehingga hari ini (kelmarin) sebelum mengamuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata sumber, susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.