Kerajaan Pahang akan wujudkan kembali JKKK jika MPKKP diperkenalkan

YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini dilihat satu lagi pusingan U oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan Pahang membantah sekeras-kerasnya usaha untuk mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) kerana ia adalah satu tindakan negatif yang boleh memecah-belahkan lagi penduduk kampung terutamanya orang Melayu.

Menurut laporan Facebook Pahang Media, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini dilihat satu lagi pusingan U oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum ini, apabila PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan, mereka telah memperkenalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Ekoran itu, Kerajaan Pahang pimpinan Barisan Nasional (BN) turut akur dan telah menubuhkan 542 MPKK di seluruh negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai mematuhi keputusan Kabinet juga ke atas Kerajaan Negeri BN di Pahang dan Perlis, Kerajaan Pahang sanggup menerima lima wakil daripada PH untuk menganggotai setiap 542 MPKK tersebut.

“Namun sehingga kini, nama wakil-wakil berkenaan belum juga diperolehi daripada PH menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Pengisian lima wakil PH ini belum dilaksanakan bagi menjadikan keseluruhan keanggotaan MPKK seramai 18 orang iaitu seorang pengerusi, seorang setiausaha dan 16 orang wakil penduduk termasuk lima orang daripada PH,” jelasnya.

Beliau berkata, tetapi kini terdapat laporan menyebut, MPKKP akan diwujudkan di Kelantan ekoran masalah yang dihadapi di negeri itu dan pada masa yang sama hendak diwujudkan di Pahang.

“Pegawai Kerajaan Pahang dari Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri cuba mendapatkan kepastian mengenai ura-ura pengwujudan MPKKP tetapi sehingga kini belum menerima apa-apa maklum-balas mengenainya,” katanya.

Oleh itu, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang masih berpegang kepada ketetapan Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini tentang pembentukan MPKK dengan tambahan lima wakil PH di negeri ini.

“Kerajaan Pahang berharap, Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan PH akan tetap dengan pendirian asalnya yang jika tidak, Kerajaan Pahang akan mewujudkan kembali JKKK di kesemua 542 kampung di negeri ini,” katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)