MPKKP berkuatkuasa Januari depan

Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 542 MPKKP dengan 7,046 ahli ditubuhkan di negeri Pahang di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

PUTRAJAYA, 5 Julai -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bercakap lepada media mengenai isu kuota menunaikan haji negara pada majlis anugerah khidmat cemerlang dan sijil graduasi Felo Muda Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM, hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUANTAN – Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) akan berkuatkuasa Januari tahun hadapan bagi menggantikan pengurusan MPKK sedia ada di negeri ini.

Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 542 MPKKP dengan 7,046 ahli ditubuhkan di negeri Pahang di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Beliau berkata, dengan penubuhan MPKKP ini, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri tidak lagi akan dibiayai kerajaan persekutuan dan terserah kepada kepada kerajaan negeri untuk meneruskan aktivitinya.

“PH pada awalnya tidak mahu menubuhkan MPKKP kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat di akar umbi tetapi tidak dapat mengelakkannya kerana kita mendapati MPKK negeri berpolitik.

“Lantikan MPKK yang hanya melibatkan pihak negeri sahaja juga telah menyukarkan para pengundi yang di bawah PH. Kerajaan Persekutuan telah beri peluang selama setahun ini tapi jika MPKK digunakan untuk kepentingan politik, masalah rakyat tidak akan selesai,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang.

Beliau berkata, semua 11 ahli jawatankuasa MPKKP di Pahang kini dilantik oleh kerajaan Persekutuan berbanding pelantikan keahlian MPKK yang kesemua ahlinya dilantik kerajaan negeri.

“MPKK negeri boleh diteruskan oleh kerajaan negeri dan mereka akan menggunakan dana mereka sendiri sekiranya mahu meneruskan operasi mereka. Peruntukan sedia ada yang dahulunya kepada MPKK akan dibawa ke MPKKP.

“Pengerusi MPKKP berkuasa menandatangani dan mengesahkan borang bantuan, dokumen dan surat rasmi untuk kegunaan Kerajaan Persekutuan sebagai pemegang jawatan rasmi bawah Kerajaan Malaysia,” katanya.