MPKKP boleh beri kesan buruk?

Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, dengan kewujudan MPKK sedia ada ditambah MPKKP pula nanti menjadi penyumbang utama perpecahan di dalam sesebuah kampung.

KUANTAN – Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan diwujudkan bermula Januari tahun depan didakwa bakal menyusahkan serta memberi kesan buruk kepada penduduk.

Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, dengan kewujudan MPKK sedia ada ditambah MPKKP pula nanti menjadi penyumbang utama perpecahan di dalam sesebuah kampung.

“Hormatilah kerajaan Barisan Nasional ( BN) Negeri Pahang yang telah dipilih rakyat selepas PRU 14 yang lalu untuk terus mentadbir Kerajaan Negeri,” katanya menerusi muatnaik terkini di Facebook beliau, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkenaan penubuhan jawatankuasa itu, baru-baru ini.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, MPKKP akan berkuatkuasa dan memulakan tugas pada Januari 2020 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi peruntukan sedia ada.

Menurut Fuziah, MPKKP akan diwujudkan di empat negeri yang bukan di bawah kerajaan Persekutuan manakala MPKK tidak lagi di bawah tanggungan kerajaan serta pihak negeri boleh meneruskan dengan pembiayaan sendiri.

Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Sri Shahaniza Shamsuddin turut meluahkan komen berhubung pengumuman tersebut menerusi hantaran di Facebook beliau.

“Yang nak buat MPKK tu dulu dia. Yang letak semua syarat tu dia. Kita ikut je apa yang dah dipersetujui. Yang nak lantik tambah lima ahli pun dia, tapi sampai sudah tak boleh nak lantik.

” Bila semua berjalan cantik dan molek, dia nak batal buat lain pulak. Agaknya apa perkataan paling sesuai untuk dema ni? Bijak?,” tambahnya.

Sinar Harian menghubungi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mengulas perkara ini dan beliau berkata akan mengeluarkan kenyataan akhbar, petang ini.