Tiada kelulusan permohonan lombong di Tasik Chini: Wan Rosdy

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar kawasan di Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Kekal bagi memastikan ekosistem di Tasik Chini tidak terjejas.

Kerajaan Negeri Pahang tidak akan meluluskan sebarang permohonan pajakan melombong baharu di sekitar Tasik Chini dalam usaha memulihara sebahagian kawasan terbabit.

Sinar Harian melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar kawasan di Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Kekal bagi memastikan ekosistem di Tasik Chini tidak terjejas.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan sumber hutan yang tidak ternilai harganya berkekalan dan ini salah satu komitmen yang dilaksanakan oleh pihak kita (kerajaan),” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hutan Antarabangsa Peringkat Pahang 2019 di Kampung Air Leleh, Kuala Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda.

Selain itu Wan Rosdy berkata, kerajaan turut meluluskan pelaksanaan Projek Penghutanan Semula Kawasan Terosot membabitkan seluas kira-kira 50,000 hektar di Rompin, Temerloh dan Kuantan.

“Kita juga telah mewartakan kawasan hutan seluas 132,212.58 hektar di Pahang sebagai hutan tadahan air di bawah fungsi pengelasan Hutan Perlindungan.

“Sumber hutan penting bukan sahaja kepada Pahang tetapi Terengganu, Kelantan, Perak, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.