Geng Li Serama tumpas, rampas dadah bernilai RM145 ribu

Kumpulan ini menjalankan kegiatan samun bersenjata menggunakan parang, kayu, pemotong besi dan memasuki rumah mangsa pada awal pagi serta turut mencederakan mangsa dalam satu siri kejadian samun.

Polis Kontinjen Pahang melalui pasukan task force di bawah Ops Rantau melibatkan pasukan D9 IPK Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Temerloh berjaya menahan empat penjenayah yang dikenali sebagai Geng Li Serama.

Kumpulan ini menjalankan kegiatan samun bersenjata menggunakan parang, kayu, pemotong besi dan memasuki rumah mangsa pada awal pagi serta turut mencederakan mangsa dalam satu siri kejadian samun.

Empat suspek yang berusia 30 hingga 47 tahun itu terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga Indonesia ditahan dalam satu operasi pada 2 November lalu di Jalan Triang, Bera.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, operasi itu adalah rentetan daripada empat kes samun di negeri ini masing-masing tiga di Temerloh dan satu di Kuantan pada Oktober lalu serta awal bulan ini.

Menurutnya, hasil siasatan ke atas suspek, pada 4 November lalu sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di Taman Perindustrian Seberang Temerloh dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM145,000.

“Semasa tangkapan dilakukan pihak polis telah berjaya merampas barang-barang kes milik mangsa seperti barangan kemas, telefon bimbit, jam tangan serta senjata dan kenderaan yang digunakan oleh kumpulan penjenayah semasa melakukan kejadian.

Rentetan dari tangkapan tersebut pada 4 November 2019, pihak polis turut membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Perindustrian Seberang Temerloh dan turut berjaya merampas barangan disyaki dadah pelbagai jenis iaitu heroin anggaran berat 2 kilogram, syabu anggaran berat 600 gram dan 284 biji pil kuda. Keseluruhan nilai rampasan adalah RM145,000,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu sidang media di IPD Temerloh, hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan dan Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman.

Jelasnya lagi, kesemua penjenayah yang ditangkap didapati memiliki rekod kesalahan lampau iaitu mengedar dadah dan pernah dipenjarakan atas kesalahan samun.

Tambahnya, dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan empat kes samun berkenaan.

Suspek direman hingga 9 November ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Bagi kes rampasan dadah, ia disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 39 (A) (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.