PKR Pahang sokong Anwar 100 peratus PM ke-8

Kesemua 14 cabang PKR di negeri berkenaan memberi sokongan ke atas perkara itu supaya ia menjadi realiti bagi membolehkan parti itu memberi lebih tumpuan dalam gerak kerja dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. - Fuziah Salleh

dig

PKR Pahang memberi sokongan 100 peratus kepada Presiden parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Fuziah Salleh.

Beliau berkata ketika ini kesemua 14 cabang PKR di negeri berkenaan memberi sokongan ke atas perkara itu supaya ia menjadi realiti bagi membolehkan parti itu memberi lebih tumpuan dalam gerak kerja dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita berdoa supaya kita dapat melihat presiden kita sebagai Perdana Menteri kelapan dan negeri Pahang memberi sokongan 100 peratus terhadap perkara itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Negeri Pahang di Dewan Datuk Zaharuddin Abu Kassim Kampung Peragap, di sini, malam tadi.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Kuantan itu turut mengajak pimpinan PKR di setiap peringkat di negeri berkenaan supaya membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang parti sokongan mereka.

“Janganlah memilih-milih dalam membantu rakyat yang memerlukan… sebagai contoh janganlah jika mereka datang daripada UMNO, kita tidak sign permohonan bantuan mereka.

“Janganlah kita mengamalkan sikap seperti yang diamalkan pimpinan terdahulu. Jika kita bersikap seperti itu, lebih baik kita duduk dalam parti berkenaan,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Pengarah Konvensyen Nasional dalam ucapannya mengingatkan kepentingan parti untuk berusaha menunaikan janji pada pilihan raya umum lalu, untuk terus mendapatkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Jika kita tidak berjaya deliver, rakyat akan menghukum kita dan jika boleh, kita akan terus memperoleh kejayaan… bukan hanya kita dapat kekalkan Putrajaya, tetapi kita juga dapat merampas Pahang,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata walaupun PRU-15 sukar ekoran ‘perkahwinan UMNO-PAS’ namun beliau yakin tidak mustahil Pahang boleh dirampas dari pentadbiran Barisan Nasional, jika isu yang membelenggu rakyat negeri ini boleh ditangani.

Antaranya, beliau merujuk kepada isu peneroka Felda yang merupakan kumpulan pengundi penting di Pahang, yang mana pimpinan parti perlu turun ke peringkat akar umbi untuk merungkai kekusutan dalam isu seperti menghapuskan hutang.

“Soal ekonomi juga penting kerana ramai rakyat Pahang yang berhijrah dan kita perlu ada jawapan pada soal ekonomi seperti peluang pekerjaan dan gaji yang sewajarnya.

“Kita kena ubah struktur ekonomi untuk beri penyelesaian kepada orang muda dan dalam isu ini, kita tidak boleh nak menyalahkan sesiapa kerana kita kini berada di peringkat Persekutuan,” katanya.

Nik Nazmi juga berkata penting untuk pimpinan parti mula mencari pelapis muda khususnya yang berusia dalam lingkungan 20-an bagi mendekati pengundi muda, yang kini masih bersekolah dan akan didaftarkan secara automatik pada usia 18 tahun.

Sementara itu, Pengarah Konvensyen Pahang Rizal Jamin berkata PKR Pahang perlu kukuh dalam pendirian mahu Presiden mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan yang disifatkan dapat meningkatkan sokongan rakyat untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

“Di Pahang kita mesti bersatu hati dan sebulat suara berkempen berhabis-habisan untuk menyatakan hasrat ini (Anwar sebagai Perdana Menteri). Jangan ada antara kita menyebut (nama) selain daripada Presiden,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Kuala Krau sebagai lokasi penganjuran Konvensyen Keadilan Pahang tahun ini, Rizal berkata ia sebagai ‘mengambil semangat’ tokoh PKR Pahang, Allahyarham Suhaimi Said yang menubuhkan Cabang Kuala Krau.

Allahyarham Suhaimi, yang meninggal dunia akibat kanser tulang dan hati pada 5 Nov 2013 juga merupakan penerima Anugerah Bill Kayong pada Kongres Nasional Keadilan 2018 sebagai menghargai sumbangan dan jasanya kepada parti.

-Bernama