Kes SRC: Najib diarah bela diri

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi kes tersebut.

Bekas perdana menteri, Najib Razak, diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Malaysiakini melaporkan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi kes tersebut.

Menurut Mohd Nazlan, Najib memainkan peranan dalam pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011.

Beliau juga mendapati bekas presiden Umno itu menggunakan dana sebanyak RM42 juta daripada SRC untuk kepentingan sendiri.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Terdahulu pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 27 Ogos lalu selepas Najib mula dibicarakan 3 April.

Seramai 57 saksi dipanggil memberi kenyataan, termasuk bekas pengurus perhubungan awam AmBank Bhd, Joanna Yu, serta bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah.

Mohd Nazlan menetapkan 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Dis ini untuk Najib dibicarakan.

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

Pada hari pihak pendakwaan menggulung hujah mereka, Peguam Negara Tommy Thomas menawarkan seramai 66 saksi kepada pihak pembelaan.

Mengenai satu daripada tiga tuduhan pecah amanah itu, Mohd Nazlan berkata, tertuduh tidak berhak memasukkan wang RM42 juta ke akaun persendiriannya.

“Wang RM42 juta yang dipindahkan ke akaun tertuduh adalah keuntungan yang salah dibuat tertuduh dan digunakan untuk tujuan peribadi (di mana) cek peribadi berjumlah RM10.7 juta (dikeluarkan) dan disahkan oleh penerima,” kata hakim itu.

Di hujung keputusannya Mohd Nazlan berkata, beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya menunjukkan bukti yang kredibel berhubung tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

“Ini bermakna teruduh mesti membela diri bagi semua tuduhan yang dikenakan ke atasnya,” kata beliau.

Untuk rekod ketika tuduhan itu berlaku, SRC ialah anak syarikat kepada 1MDB sebelum ia kemudian dipindah milik kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan. 

Najib ialah menteri kewangan ketika itu.