Kes SRC: Umno, BN tak akan jarakkan dari Najib

Ditanya sama ada keputusan mahkamah itu akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 Nov ini, Zahid berkata rakyat bijak membuat keputusan.

Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menjarakkan diri dari Najib Razak susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas perdana menteri itu membela diri dalam kes berprofil tinggi membabitkan SRC International Sdn Bhd.

“Tidak sedikitpun perasaan itu (menjarakkan diri dari Najib), bila seseorang itu sama ada disiasat atau dibicara atau diminta membela diri, pendirian Umno dan BN tetap sama,” kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi di lobi Parlimen hari ini.

Portal FMT melaporkan, Zahid yang juga presiden Umno berkata demikian ketika ditanya adakah parti akan menjarakkan diri dari Najib susulan perkembangan hari ini.

Ditanya sama ada keputusan mahkamah itu akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 Nov ini, Zahid berkata rakyat bijak membuat keputusan.

“Kes seseorang itu tidak ada kena-mengena dalam mana-mana pilihan raya kecil dan kami cukup rasional bahawa semangat dan tahap sokongan pengundi-pengundi tidak terpengaruh dengan isu-isu di mahkamah kerana mereka rata-rata mengetahui perbicaraan itu dibuat mengikut proses undang-undang.

“Dia (Najib) telah datang (kempen) yang terakhir semalam dan sambutan kepada dia masih tetap luar biasa.

“Sesiapa sahaja ingin membantu (calon BN), kita akan bagi ruangan yang secukupnya, bukan hanya memperjelaskan isu-isu yang ada tetapi untuk melihat sokongan harus diberikan kepada mana-mana calon BN,” katanya.

Pendirian yang sama turut disuarakan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, sambil memaklumkan isu membabitkan Najib tidak akan memberi kesan kepada kemenangan BN di Tanjung Piai.

“Sebab kes (SRC) itu berbeza dengan isu yang berlaku di Tanjung Piai, seperti kita tahu banyak isu melibatkan isu rakyat dan Tanjung Piai ini terlibat dengan perikanan dan pekebun kecil. Jadi isu mereka yang melibatkan sara hidup,” katanya.

Beliau berkata isu SRC hanya membabitkan peribadi Najib dan bukannya parti.

“Najib pernah kata tidak akan melibatkan Umno dalam kes dia. Dia akan teruskan dengan kes di mahkamah, malah pemimpin lain pun terlibat dengan kes di mahkamah. Itu adalah isu yang melibatkan diri mereka sendiri bukan melibatkan parti dan sebagainya.

“Tetapi sebagai bekas presiden parti, kita akan terus beri sokongan moral kepada Najib untuk menghadapi kes ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Najib membela diri atas kesemua tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.